Adab Sebelum Menunaikan Fardhu Jumaat

Assalamualaikum Semua..

Pada pagi Jumaat yang bahagia ni aku nak share sedikit sebahagian daripada adab-adab yang sepatutnya diamalkan bagi persediaan sebelum menunaikan fardhu Jumaat. Di bawah ini izinkan saya nukilankan apa yang ternyata di dalam buku Hidup Ibadat oleh Dr. Ustaz Hj. Fadzil Hj. Ahmad.

A. Menyuci kain baju sejak petang Khamis lagi.

B. Banyak beristighfar pada petang hari Khamis.

C. Puasa pada hari Jumaat tetapi hendaklah disertakan dengan hari Sabtu atau bermula dari hari Khamis lagi (Khamis dan Jumaat) atau (Jumaat dan Sabtu).

D. Sunat mandi pada pagi hari Jumaat dengan niat mandi sunat Jumaat.

E. Pakai pakaian yang putih.

F. Pakai bau-bauan yang harum (Ingat! Pastikan bau-bauan yang kita pakai tidak bercampur dengan bahan ALKOHOL, atau najis).

G. Suci badan hingga hilang bau busuk.

H. Cukur bulu ari-ari dan andam misai (Nabi Muhammad s.a.w. berpesan supaya jangan disimpan bulu ari-ari kita melebihi 40 hari).

I. Kerat kuku tangan dan kuku kaki (Ingat! Kuku yang panjang adalah tempat bertenggeknya syaitan).

J. Pergi awal-awal ke masjid untuk Jumaatnya.

K. Di masjid duduk di saf yang pertama.

L. Jangan melangkah bahu orang lain sewaktu masuk ke dalam masjid kecuali jika ada saf yang di hadapan itu masih kekosongan.

M. Jangan lalu di hadapan orang yang sedang bersembahyang.

N. Duduk di tempat yang tidak boleh orang lain melintasi di hadapan kita semasa kita sembahyang (Ingat! Apabila masuk masjid hendaklah masing-masing rasa tanggungjawab pada diri sendiri dengan terus mara ke hadapan selagi masih ada tempat-tempat yang kosong).

O. Sebelum duduk, sembahyanglah sunat Tahiyat Masjid dua rakaat walaupun pada waktu anda masuk itu imam sedang membaca khutbahnya.

P. Setiap kali masuk ke dalam masjid, niatlah i’tikaf.

Q. Bacalah surah Al-Kahfi (sabda Rasulullah s.a.w. : “Siapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat diterangkan baginya daripada nur barang yang antara dua Jumaat).”

Juga bacalah Yasin (Sabda Rasulullah s.a.w.: “Tiap sesuatu itu ada hati, dan hati al-Quran itu ialah Yasin. Siapa membaca Yasin sekali, disuratkan Allah Taala baginya seperti ia membaca al-Quran sepuluh kali).”

Juga fadhilat surah Haa Mim Ad-Dukhan jika dibaca (sabda Rasulullah s.a.w.: “Siapa membaca surah Haa Mim Ad-Dukhan pada malam Jumaat atau siangnya nescaya dibina oleh Allah baginya rumah di dalam syurga).”

Dan sabda Rasulullah s.a.w.: “Siapa membaca Alif Lam Mim Tanzil As-Sajdah dan Tabarakalladzi biyadihil mulk pada malam Jumaat nescaya dicatatkan baginya tujuh puluh kebajikan dan dihapuskan daripadanya tujuh puluh kejahatan dan diangkakan baginya tujuh puluh darjah).”

Setidak-tidaknya hendaklah seseorang itu membaca surah al-ikhlas sebanyak mungkin Fadhilatnya seperti sabda Rasulullah s.a.w.: “Siapa membaca Qulhuwallah 3 kali maka seolah-olah ia membaca al-Quran keseluruhannya.”

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Siapa membaca Qulhuwallahu ahad 1000 kali, maka bererti ia membeli diri (menebus diri) daripada api neraka.”

R. Banyakkan salawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w..Fadhilat daripada membacanya seperti sabda Rasulullah s.a.w.: “Siapa membaca salawat ke atasku pada hari Jumaat sebanyak 80 kali, nescaya Allah mengampunkan dosanya lapan puluh tahun.”

S. Hendaklah meneliti segala khutbah yang disampaikan oleh khatib dan jangan sekali-kali bercakap-cakap ketika itu. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Siapa yang bercakap-cakap ketika khatib membaca khutbah, maka hilanglah pahala Jumaatnya.”

Dan dalam hal ini Rasulullah s.a.w. ada melarang para jamaah bermain-main dengan ‘batu’, mematah-matahkan jari hingga berbunyi, termasuk ‘terlena’ ketika khatib membaca khutbahnya. Dengan terlena itu, segala isi khutbah tidak dapat didengari. Maka dengan sebab itu disunatkan sebelum masuk waktu zohor, orang yang hendak berJumaat itu tidur sekejap kadar menghilangkan rasa mengantuknya. Selepas tidur sekejap itu datanglah ke masjid dengan rasa yang segar, tiada mengantuk lagi.

T. Sunat banyak berdoa kepada Allah, kerana doa seseorang pada hari Jumaat itu mudah dimakbulkan oleh Allah SWT. Diharapkan doa seseorang pada hari Jumaat akan bertemu dengan ‘sa’adatul ijabah’ yakni ‘masa diperkenankan doa’ lebih-lebih lagi ketika khatib sedang di atas minbar hingga selesai Jumaat.

U. Selesai sembahyang Jumaat, disunatkan baca 7 kali Al-Fatihah, 7 kali surah al-Ikhlas, 7 kali surah al-Falaq dan 7 kali surah an-Nas, dengan syarat belum bercakap-cakap dengan sesiapa pun.

V. Sunat sembahyang sunat 4 rakaat sesudah fardhu Jumaat: 2 rakaat sunat muakkad dan 2 rakaat lagi sunat ghairu muakkad.

W. Sunat kemudian daripada selesai fardhu Jumaat itu, hendaklah duduk dan kekal di dalam masjid hingga sampai waktu Asar dan jika dia duduk sampai Maghrib itu adalah lebih afdal.

Kredit : Redboyz / Adab Sebelum Menunaikan Fardhu Jumaat

Speak Your Mind

*

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pin It on Pinterest