Kadar Caruman KWSP Pekerja Dinaik Semula

Majikan Perlu Pastikan Potong 11 Peratus Mulai Gaji Januari

KUALA LUMPUR: Kadar caruman bahagian pekerja kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dinaikkan semula kepada 11 peratus daripada lapan peratus sekarang berkuat kuasa daripada gaji Januari 2011.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar, berkata majikan perlu memastikan jumlah caruman yang betul dipotong daripada gaji pekerja berdasarkan kadar caruman baru berkenaan dan dibayar kepada kumpulan wang persaraan itu bermula daripada caruman Februari 2011.Katanya, bagi ahli yang mengemukakan borang untuk mengekalkan kadar caruman pada 11 peratus sepanjang tempoh dua tahun itu, tidak perlu mengambil sebarang tindakan.

“Caruman KWSP bulanan daripada majikan dikekalkan pada 12 peratus,” katanya menerusi kenyataan media di sini, semalam.

Kadar caruman bahagian pekerja sebelum ini diturunkan untuk tempoh dua tahun daripada 11 peratus kepada lapan peratus bermula Januari 2009 hingga Disember 2010.

Langkah itu diumumkan kerajaan pada akhir 2008 yang bertujuan meningkatkan pendapatan boleh guna golongan pekerja sejajar keadaan ekonomi pada masa itu.

Majikan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubungan perkara itu, boleh mengunjungi cawangan KWSP berhampiran, menghubungi pusat panggilan KWSP di 03-89226000 atau menghantar pertanyaan melalui laman web myEPF di http://enquiry.kwsp.gov.my.

Langkah menaikkan semula kadar caruman pekerja itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2010 tahun lalu berikutan keadaan ekonomi yang dijangka pulih.

Sebelum itu, kerajaan membenarkan pekerja untuk mengurangkan potongan caruman KWSP mereka secara sukarela daripada 11 peratus kepada lapan peratus selama dua tahun sebagai sebahagian Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM7 bilion yang diperkenalkan pada November 2008.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, memandangkan jangka hayat rakyat semakin meningkat, tabungan dalam KWSP mungkin tidak mencukupi selepas persaraan dan sehubungan itu, skim anuiti adalah satu instrumen kewangan sesuai bagi tujuan menampung pendapatan semasa persaraan.

Kerajaan, katanya sedar betapa pentingnya untuk rakyat menyimpan semasa usia muda bagi memastikan aliran pendapatan tetap dan berterusan selepas persaraan.

Seramai 2.2 juta atau 40 peratus daripada pencarum KWSP memilih untuk mengurangkan caruman masing-masing kepada lapan peratus.

Sumber : Berita Harian

P/S : boleh juga lihat di laman web KWSP di sini

Speak Your Mind

*

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pin It on Pinterest