Membina Personaliti Muslim Sejati

Assalamualaikum…

Setiap ajaran ada pengasasnya tetapi tidak pada Islam. Islam bukan ajaran yang diasaskan oleh baginda Rasulullah SAW ketika berkhulwah ( bersendirian ) di Gua Hira’ sepertimana dakwaan orientalis tetapi Islam adalah agama iaitu cara hidup yang diredhai di sisi Allah. Buktinya ialah Surah Ali Imran ayat 19 : “ Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam ” manakala bukti keredhaan Allah pada cara hidup Islam pula ialah Surah Al Maidah ayat 3: “Dan aku ( Allah ) telah meredhoi Islam kepada kamu sebagai satu cara hidup”.

Rasulullah SAW adalah rasul ( utusan ) tuhan yang menyampaikan kepada umat segala perihal kehidupan. Bermula dari sekecil perkara seperti thaharah ( bersuci ) hinggalah sebesar-besar perkara seperti hukum-hakam pemerintahan sesebuah negara. Baginda hanyalah menyampaikan apa yang diperintahkan. Baginda juga adalah role mode sepanjang zaman. Penampilan imej yang baginda tonjolkan adalah gambaran lengkap seorang personaliti muslim yang sejati. Itulah sumber ikutan dan inspirasi kita selaku penganut agama Islam.

‘Di mana bumi dipijak di situ Islam dijunjung’. Inilah perumpamaan yang tepat bagi seorang mukmin sejati yang telah bersumpah di hadapan Allah setiap kali mendirikan solat membuat pengakuan untuk menjadikan solat, ibadah, hidup dan matinya adalah untuk Tuhan Pencipta A’lam. Mukmin yang setia dengan janjinya kepada Allah dan setia bahawa Muhammad itu adalah ikutannya. Pegangannya tidak berubah malah tetap menuruti hukum Allah dan petunjuk rasulNya walau apa jua yang menimpa.

Barangkali inilah yang cuba digambarkan oleh 3 orang anak muda mukmin yang tegas, tetap dan tidak berganjak dari prinsip berpakaian seorang muslim iaitu pemakaian serban walaupun mereka dikenakan hukuman buang sekolah. Mungkin jua inilah yang cuba dijelaskan oleh seorang guru yang telah bertindak menggunting sedikit tudung pendek pelajarnya yang tidak mematuhi arahan bertudung labuh di sekolah walaupun guru tersebut terpaksa berhadapan dengan hukuman ditukarkan ke sekolah yang lain. Persoalannya hanyalah satu tiada duanya, kenapakah pengamalan Islam tidak ditekankan dengan kukuh malah Islam tidak dibiarkan bebas diamalkan di Negara Islam Malaysia yang berteraskan Islam Hadhari ini?.

Sudah pasti persoalan ini akan menjadi bertambah misteri apabila ajaran musuh Allah pula dibiarkan berkuasa sedangkan remaja Muslim dibiar sengsara akhlak dan sosial mereka. Sikh bebas berserban ala ajaran mereka. Budaya Kuning anjuran Yahudi dan Nasrani seperti Punk dan Hippies yang tidak bertuhan pula bebas meragut budi bahasa milik budaya orang-orang timur. Pemakaian ketat yang menampakkan susuk tubuh dengan baju Body-fit tidak dikenakan tindakan. Budaya Season dan Dirty yang menonjolkan imej kotor dan lusuh berlambak di setiap pasaraya langsung tidak dikenakan sebarang penguatkuasaan. Bukankah semua ini adalah racun yang akan merosakkan penjanaan seorang personaliti muslim seterusnya meranapkan gagasan negara melahirkan modal insan berkualiti.

Islam tidak membiarkan umatnya hilang pedoman dalam mencari etika berpakaian. Rasulullah SAW adalah model personaliti muslim yang sejati manakala Ummahatul Mukminin (ibu bagi orang-orang mukmin) seperti Saidatina A’isyah pula adalah cermin penyuluh diri bagi muslimah. Gaya ketrampilan diri akan kelihatan lebih menarik jika sunnah ini dijadikan pegangan. Rasullullah SAW telah menggariskan panduan – panduan asas berpakaian dalam menjana personaliti seseorang muslim. Antaranya ialah pakaian mestilah yang menutup aurat iaitu (bahagian tubuh yang wajib dilindungi dari pandangan ajnabi) bukannya menutup kulit atau ketat, pakaian mestilah tidak menyerupai agama lain seperti bow, pakaian topi Yahudi, pakaian sami Budhha, pakaian paderi Kristian atau pakaian Sister Kristian, pakaian mestilah dari sumber yang halal dan suci pada pandangan syarak bukan dari sutera asli atau emas bagi lelaki dan janganlah keterlaluan berpakaian sehinggakan menjerumuskan pemakainya ke lembah pembaziran dan mendedahkan tubuh kepada kebinasaan dek kerana mengikut tunjuk ajar Syaitan.

Selain itu sebagai tanda kasih baginda kepada ummatnya Baginda turut menggalakkan umatnya mengamalkan nilai-nilai tambah dalam menonjolkan lagi personaliti seorang muslim. Bertutup kepala (kopiah), berserban, bercincin di jari kelingking, berwangi-wangian serta mengutamakan pakaian putih kerana ia adalah warna suci fitrah insani dan memakai warna hijau kerana ia adalah warna syiar agama Islam dan warna pakaian ahli Syurga seterusnya ialah menyimpan janggut serta menipiskan misai.

Sesungguhnya manusia amat suka berbangga dengan apa yang dipakainya dan akan sentiasa menuruti segala jenis pemakaian sesiapa yang dicintainya. Itulah realiti sebuah percintaan. Pasangan yang asyik bercinta akan sentiasa taat mengikuti kehendak pasangannya. Mukmin yang mencintai rasulnya akan menuruti segala sunnah baginda sehinggalah dalam etika berpakaian. Sudah tentulah hasil daripada mencintai rasul ialah bersama baginda di tempat istimewa di Syurga sana. Seseorang itu akan bersama dengan sesiapa yang dicintainya pada hari akhirat – maksud hadis. Cara berpakaian juga akan melambangkan ketaatan seseorang kepada agamanya. Bahkan seruan Islam dalam berpakaian adalah terlalu jauh. Bukan sahaja untuk menampilkan ketrampilan diri agar lebih anggun bahkan diganjari pahala kerana menjulang ketaatan tuhan. Bukankah dengan berpakaian kita akan lebih mudah dikenali sebagai seorang muslim sejati.

Penjanaan personaliti muslim sejati hanya akan dapat direalisasikan apabila sunnah baginda Rasulullah SAW dilaksanakan secara total tanpa ada diskriminasi. Integrasi antara gaya penampilan diri mengikut sunnah baginda dan akhlak mulia pastinya akan membuahkan masyarakat yang kaya dengan budi bahasa seperti mana yang diharapakan semua. Hayatilah pujian Allah kepada kekasihnya dalam Surah Al-Ahzab ayat 21 “Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan dia banyak mengingati Allah”.

Kredit : http://mumtazulmuslim.blogspot.com/2009/03/membina-personaliti-muslim-sejati.html

P/S : Tazkirah Di hari Jumaat yang berbahagia

Speak Your Mind

*

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pin It on Pinterest