Persiapan Kewangan Menjelang Ramadhan

Assalamualaikum…

Bulan Ramadhan bakal menjelang tidak lama lagi. Ada di kalangan kita pada bulan Rejab lagi sudah selesai membuat tempahan baju-baju raya untuk menyambut bulan Syawal. Barangkali ada yang perlu meminjam duit, menyimpan duit selama setahun untuk persiapan bulan Syawal. Apakah persiapan kita menjelang Ramadhan pula?

Salah satu sifat orang-orang kaya adalah suka memberi, bersedekah kepada orang lain. Justeru, kita perlu didik sikap sudah bersedekah sebagai satu sifat yang sebati dengan diri kita. Apatah lagi setiap tahun ada bulan Ramadhan yang merupakan salah satu peluang yang Allah beri kepada kita semua untuk mendapat pahala dan ganjaran yang berganda-ganda.

Ibnu Qayyim berkata: “Sesungguhnya sedekah yang dikeluarkan pada hari Jumaat mempunyai kelebihan berbanding pada hari-hari lain. Bersedekah pada hari Jumaat nisbah kepada hari-hari lain di dalam seminggu, samalah dengan sedekah yang dikeluarkan di dalam bulan Ramadhan nisbah kepada yang dikeluarkan di dalam bulan-bulan lain di dalam setahun.”

(Zad Al-Ma’ad)


Berikut adalah 3 perkara yang kita dapat buat setiap bulan Ramadhan. Jika kita mengamalkannya selalu pahala menjadi berganda-ganda dan rezeki juga bakal bertambah.

1.  Membayar Zakat Harta Di Bulan Ramadhan

Ini adalah amalan yang arwah emak saya ajar iaitu menjadikan bulan Ramadhan sebagai kiraan haul zakat harta. Melalui cara ini, sudah pasti kita akan sentiasa ingat bilakah kita patut membayar zakat harta kita. (Jangan keliru zakat harta dan zakat fitrah ya!)

2.  Membanyakkan Sedekah Di Bulan Ramadhan

Zakat harta adalah satu kewajipan. Sedekah pula adalah satu perkara sunat. Maka, kita perlu ada pengiraan yang betul untuk membezakan zakat harta dan sedekah.

Belanjawan kita untuk menyambut Syawal wajib ada sedekah pada bulan Ramadhan. Apakah kita tidak malu apabila perbelanjaan tahunan Astro, broadband kita sahaja jauh lebih tinggi dari nilai sedekah kita pada bulan Ramadhan?

Jika kita sanggup menjadikan tauke Astro, Celcom, Maxis dan DiGi kaya kenapa kita tidak dapat membantu meringankan beban saudara kita sendiri yang dalam kesusahan?

3.  Belanja Orang Lain Berbuka Puasa

Betul, Ramadhan kita di Malaysia memang seperti satu pesta makanan. Maka alangkah cantiknya jika kita dapat kongsi pesta makanan ini dengan orang lain yang barangkali mahu berkunjung ke pasar Ramadhan pun tidak mampu kerana tidak punya cukup wang. Adakalanya yang tidak cukup makan itu wujud di kalangan keluarga kita sendiri!

Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, adalah baginya pahala seumpama pahala orang yang berpuasa itu, tanpa dikurangi walaupun sedikit daripada pahala orang yang berpuasa itu.”

(Tirmidzi, Ibnu Majah, Ibnu Khzaimah dan Ibnu Hibban)

Begitulah persiapan kewangan kita menjelang Ramadhan untuk kita jadikan amalan tahunan. Setahun kita bekerja keras bekerja, membuat bisnes, melabur maka inilah masanya untuk kita memberi dengan lebih banyak. Walaupun barangkali kita belum ‘jutawan’ tetapi dengan meniru sifat seorang ‘jutawan’ yang suka bersedekah adalah satu langkah yang sangat berkesan untuk mengubah situasi kewangan diri kita.

Para sahabat Nabi saw yang miskin pun cemburu dengan golongan sahabat yang kaya!

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Orang-orang fakir miskin dari kaum Muhajirin datang kepada Nabi s.a.w. mengeluh dan berkata: Orang-orang kaya telah memborong semua pahala dan memperoleh darjat yang tinggi serta kebahagiaan yang abadi, mereka solat sepertimana kami solat, mereka berpuasa sepertimana kami berpuasa, mereka juga mempunyai harta untuk menunaikan Haji dan Umrah, berhijad dan bersedekah.

Maka Nabi s.a.w. bersabda: Sukakah kamu saya ajarkan kepada kamu sesuatu yang dapat mengejar orang-orang terdaulu daripada kamu dan orang-orang yang terkemudian daripada kamu serta tidak ada orang yang lebih utama berbanding kamu melainkan mereka yang melakukan seperti perbuatan kamu itu? Jawab mereka: Baiklah wahai Rasulullah. Sabda Nabi s.a.w.: Bacalah Subhanallah (Tasbih), Alhamdulillah (Tahmid) dan Allahu akbar (Takbir) 33x

(Bukhari dan Muslim)

Semoga kita bersama menjadikan Ramadhan sebagai bulan ‘memberi’ dan membantu orang lain seterusnya menjadikan amalan tersebut sebagai satu pencen akhirat!

Kredit : Pakdi.Net

Speak Your Mind

*

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pin It on Pinterest