Review Proton Inspira

Assalamualaikum

Pada kesempatan ini,saya nak buat review tentang Proton Inspira yang baru dilancarkan baru-baru ini.

Proton P3-90A di Kenali Sebagai Proton Inspira

Pada 14/10/2010,Proton telah melancarkan model terbaru mereka yang sebelumnya dikenali dengan kod P3-90A. Sekadar info jika anda masih belum tahu, majlis pelancaran tersebut bukanlah pelancaran penuh, sebaliknya hanya pra-pelancaran atau ‘soft-launch’ sahaja. Pelancaran rasmi model itu dijangka akan diadakan pada 10 November depan. Akhirnya, nama model terbaru itu telah didedahkan kepada umum dengan nama Proton Inspira, seperti yang telah diketahui secara rasmi sejak dua hari lepas melalui brochure yang bocor di internet. Proton Inspira? Apa pendapat anda dengan nama tersebut, agak menarik bukan?

Tempahan (booking) sudah boleh dibuat di semua pengedar Proton di seluruh Negara mulai hari ini (14/10/2010) dengan bayaran sebanyak RM1000.00 sahaja. Untuk bakal pemilik Inspira yang menerima kereta mereka sebelum 31/12/2010, Proton menzahirkan penghargaan dengan memberikan hadiah istimewa berupa pakej servis percuma selama 2 tahun atau 20,000 km terawal, bernilai RM1,658.00 termasuk kos buruh dan alat ganti. Jadi tunggu apa lagi? Mungkin sudah tiba masanya membatalkan tempahan Toyota Vios, Honda City, atau Corolla dan Civic.

Proton Inspira pengganti Proton Waja? Kenapa bukan Proton Waja Inspira?

Jika diikutkan kenyataan dari pihak Proton sebelum ini, Proton Inspira yang melalui proses penjenamaan semula (rebadging) dari model Mitsubishi Lancer itu merupakan sebuah model yang akan menggantikan Proton Waja. Ketika ini Proton Waja CPS manual dan auto merupakan varian terakhir yang masih dijual oleh Proton. Mungkin selepas ini produksi kilang Proton Waja CPS akan diberhentikan terus bagi memberi laluan kepada Proton Inspira.

Tapi benarkah Proton Inspira adalah model pengganti Proton Waja? Dengan nama yang seratus-peratus berlainan kita langsung tidak dapat mengaitkan legasi Waja dengan Proton Inspira. Apa yang saya faham ialah Proton Waja CPS yang tidak menguntungkan dan semakin perlahan jumlah jualannya itu akan ditamatkan pengeluarannya, dan dalam tempoh yang sama Proton melancarkan Proton Inspira. Harga Proton Waja CPS dan Proton Inspira juga terlalu jauh perbezaannya.

Bagi saya Proton Inspira tidak kena mengena langsung sebagai model pengganti Waja. Pengiraannya adalah mudah, model Waja bakal dihentikan pengeluarannya (atau mungkin telah dihentikan) dan tiada lagi kesinambungan. Proton Inspira pula adalah model terbaru dan ianya bukanlah legasi Waja. Sayang sekali Proton dalam tindakannya melancarkan model Inspira telah mengorbankan jenama Waja atas sebab-sebab yang sukar difahami. Honda berbangga dengan jenama Civic manakala Toyota dengan jenama Corolla. Sepatutnya model pengganti Waja perlu diberi nama Proton Waja Inspira, itu baru betul.

Spesifikasi Proton Inspira

Proton Inspira dilancarkan dalam tiga varian berbeza iaitu 1.8 liter manual, 1.8 liter automatik dan varian tertinggi 2.0 liter automatik. Varian 1.8 manual dipasangkan dengan transmisi manual 5 kelajuan, varian 1.8 automatik menerima transmisi CVT sama seperti varian 2.0 dengan ‘6-speed virtual ratio CVT gearbox’. Transmisi CVT (Continuously Variable Transmission) menjadikan pemanduan lebih lancar di samping mempunyai kemampuan menambahkan kuasa dan pada masa yang sama mampu menjimatkan petrol. Lebih mengujakan, Proton Inspira 2.0 mempunyai ‘manual shift mode’ lengkap dengan ‘paddle-shifter’ di belakang stereng, amat bagus untuk pemanduan lebih sporty.

Proton Inspira menggunakan enjin siri 4B 16 DOHC MIVEC dari Mitsubishi seperti mana yang boleh dilihat pada model Mitsubishi Lancer EX dan GT. Varian 1.8 menggunakan enjin 4B10 dan 4B11 untuk varian 2.0. Kepada penggemar-penggemar kereta sedan berprestasi tinggi, enjin tersebut yang dilengkapi sistem MIVEC sudah tentu antara jenis enjin yang diidam-idamkan, tambahan pula reputasi dan populariti sistem MIVEC hampir sama dengan sistem VTEC dari Honda.

Proton Inspira dengan enjin 1.8 menghamburkan kuasa kuda setinggi 143ps dan 177Nm kuasa tork. Varian tertinggi dengan enjin 2.0 liter pula mempunyai kuasa yang lebih mewah iaitu sebanyak 155ps dan 199Nm tork. Dengan kuasa setinggi itu, tidak syak lagi Proton Inspira antara kereta sedan berprestasi tinggi keluaran Proton walau tanpa bantuan sistem turbo. Saya percaya selepas ini tidak akan terdengar lagi rungutan tidak cukup kuasa seperti yang dialami oleh pemilik Proton Waja sebelum ini.

Sistem kendalian dan gantungan (suspension) Proton Inspira pula menerima sentuhan daripada Lotus dan seperti apa yang diberitahu oleh Proton, kawalan dan pengendalian pemanduannya kini menjadi lebih cekap dan selesa. Selain itu menurut Proton, Inspira menerima penarafan setinggi 5 bintang untuk ujian tahap keselamatan (5-Star Safety Rating). Akhirnya dengan pelancaran Inspira, Proton telah mempunyai model yang menerima rating keselamatan tertinggi untuk sedan keluaran mereka. Saya pasti Proton Inspira juga dilengkapi ABS, EBD dan beberapa ciri keselamatan standard lain.

Melihat kepada bahagian dalaman, Proton Inspira 2.0 sebagai varian tertinggi dilengkapi kusyen dengan balutan kulit, pendingin udara (air-cond) dengan kawalan suhu sepenuhnya (fully automatic climate control), dan ‘auto-cruise’ untuk pemanduan lebih santai terutamanya ketika berada di atas lebuh raya. Untuk varian 1.8, kusyen dengan kemasan fabrik disediakan. Kesemua varian disediakan dua beg udara (airbag) untuk pemandu dan penumpang hadapan untuk lebih keselamatan. Antara ciri-ciri unik lain ialah ‘trunk remote control’, bermakna kini tugas untuk membuka bonet kereta menjadi lebih mudah hanya dengan menggunakan remote control.

Untuk kemasan luar, terdapat beberapa perbezaan yang dapat dikesan berbanding model Lancer seperti yang kita lihat pada model GT dan EX. Bumper hadapan termasuk jeriji (grille) dan bumper belakang Proton Inspira direka semula dengan rekaan terbaru dan bagi saya hasilnya seperti yang kita dapat lihat boleh dikatakan menarik dan sporty. Varian 2.0 mempunyai spoiler kecil di atas bonet belakangnya sebagai hiasan selain untuk visual yang lebih bergaya dan sporty.

Sayang sekali lampu belakang bukannya LED, jika tidak penampilan Inspira tentu lebih elegan. Selain itu sport rim dan tayar juga sedikit kekurangan, hanya dibekalkan rim bersaiz 16 inci, namun disebabkan penggunaan tayar yang sedikit tebal, tahap kelesaan Proton Inspira memang memuaskan. Reka bentuk rim juga kurang menarik dan telah menerima kritikan dari peminat tetapi bagi saya itu adalah perkara kecil. Jika anda mampu membeli Inspira, sudah tentu anda juga mampu membeli sport rim bersaiz 17 atau 18 inci. Akhir sekali, terdapat empat pilihan warna yang mantap untuk Inspira seperti hitam, putih, merah dan perak. Bagi saya warna putih dan hitam paling sesuai untuk menampilkan gaya elegan dan agresif sebuah Inspira.

Gambar Dan Artikel Dari : Arena Kereta

P/S : Mungkinkah Proton Inspira ni akan menjadi milik aku satu hari nanti ? Smart Guys Get It

Speak Your Mind

*

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Pin It on Pinterest