Hari Malaysia Titik Permulaan Realisasikan Impian 1Malaysia

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan di sini, bakal menjadi titik permulaan untuk merealisasi impian 1Malaysia seperti diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata presiden Parti Bersatu Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kesediaan Perdana Menteri mendengar keluhan dan impian rakyat Sabah selaras dengan aspirasi 1Malaysia yang mendahulukan kepentingan rakyat.

Oleh itu, katanya, rakyat Sabah dan Sarawak amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas pengiktirafan serta penerimaan tarikh 16 September sebagai Hari Malaysia.
“Ungkapan ”Sabah menyertai Malaysia”, pertanyaan ”bila sampai ke Malaysia” yang sering diajukan kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak, akan terungkai.

“Perubahan persepsi ini juga akan memberi ruang dan peluang yang cukup luas, dan mewujudkan perhubungan erat sebagai satu keluarga besar, sekali gus turut memberi implikasi positif terhadap penggubalan dasar dan polisi kerajaan, agar lebih bersifat holistik dan inklusif tanpa melupakan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[Read more…]

Pin It on Pinterest